Friday, March 18, 2011

panduan photografi


Topik : SUBJEK

1. Adakah setiap subjek berperanan dalam membantu penceritaan?

Soalan pertama ini berkait dengan topik penceritaan yang lalu.

Subjek manusia dan persekitarannya yang dirakam pada setiap gambar boleh dibahagikan kepada dua kategori; subjek utama (main subject) dan subjek pembantu (supporting subject). 

Subjek utama adalah subjek yang menjadi fokus dalam gambar kita dan seluruh penceritaan berkisar mengenainya. Walaupun lazimnya manusia menjadi subjek utama, subjek lain seperti binatang dan objek yang tidak bernyawa juga boleh dijadikan sebagai subjek utama.

Manakala subjek pembantu merupakan subjek-subjek sampingan yang dirakam bersama subjek utama. Ini termaksuklah subjek yang digunakan sebagai latar belakang dalam gambar kita. Peranan subjek pembantu ialah untuk mengukuhkan penceritaan. 

Seringkali juga subjek pembantu yang mewarnai keseluruhan penceritaan kita.

2. Adakah subjek yang dirakam itu menarik untuk dikongsikan?

Soalan kedua ini berkenaan pemilihan subjek.

Pemilihan subjek yang menarik untuk dirakamkan adalah subjektif. Subjek yang menarik kepada kita mungkin tidak menarik kepada orang lain. Walaupun begitu, saya rasa kita boleh bersetuju bahawa subjek yang sudah biasa dilihat tidak lagi dianggap menarik. Tambahan pula jika ianya dirakamkan tanpa sebarang penceritaan, sudah tentu kita akan menghasilkan gambar yang membosankan.

Saya akui memang sukar untuk mendapatkan subjek yang tidak pernah atau jarang dilihat tetapi menarik, subjek yang orang terlepas pandang tetapi istimewa. 

Itulah cabaran kita sebagai fotografer jalanan. Itulah yang membuatkan saya seronok untuk keluar setiap minggu merakam gambar.

3. Adakah kita mempunyai idea tersendiri dalam pemilihan subjek?

Soalan terakhir ini adalah mengenai daya kreativiti kita.

Selalu kita lihat apabila seseorang berjaya merakam sesuatu subjek yang menarik, ramai yang akan menuju ke tempat yang sama untuk mendapatkannya juga. Atau pun, cuba untuk mendapatkan subjek yang hampir sama di tempat lain. 

Haruskah begitu? Bukankah banyak lagi subjek lain yang menarik untuk dirakamkan? Tidak inginkah kita dikenali sebagai fotografer jalanan yang mempunyai idea tersendiri?

Mungkin ada yang bertanya, "Saya baru belajar... salahkah saya meniru?"

Hmmm... mestikah kita bermula dengan meniru?

Orang berkolek awak berkolek,
Orang mudik awak hanyut;
Orang bersolek awak bersolek,
Orang cantik awak serabut.

Sekian sahaja buat masa ini. Insya'Allah berjumpa lagi ditopik seterusnya: KOMPOSISI

Terimakasih, Chemat


dari abg chemat.orang berpengalaman dalam street photography

No comments:

Post a Comment